Roh mereka berbau harum?
“Waktu itu
saya duduk di tepi katil. Mak Ngah terus membisikkan kalimah syahadah ke
telinga bapa saudara saya itu. Yang lain-lain membaca al-Quran dan surah Yasin
untuk Pak Ngah yang sedang nazak akibat kencing manis, darah tinggi dan
beberapa penyakit lain.
“Usia Pak
Ngah sekitar 60-an. Penyakitnya sudah kritikal dan pihak hospital tidak mampu
mengubatinya lagi, lalu membenarkan Pak Ngah dibawa pulang kerana itulah pesan
terakhir bapa saudara saya itu sebelum dimasukkan ke wad. “Apa jadi pun,
biarlah mati di rumah.” Itu pesan Pak Ngah berkali-kali kepada ahli
keluarganya.
“Pukul 6.00
pagi, Pak Ngah semakin nazak, nafasnya beralun-alun. Makin susah dan lemah.
Lima minit kemudian, azan Subuh pun berkumandang dari masjid tidak jauh dari
rumah Pak Ngah.
“Selesai
saja azan, saya tidak semena-mena terhidu suatu bau yang cukup harum.
Entahlah... susah nak digambarkan. Wangi macam bunga tengah berkembang. Ia
datang sepintas lalu, dalam beberapa saat, dan kemudian menghilang.
“Dalam waktu
itulah saya lihat nafas Pak Ngah berakhir, diiringi oleh ucapan innalillahi
wainna ilaihi rajiun, oleh Mak Ngah dan anak-anaknya.
“Peristiwa
ini sudah lama berlaku. Lebih kurang 15 tahun lalu. Tetapi saya masih ingat
dengan jelas. Dari mana datangnya bau harum itu? Semua yang menghadap Pak Ngah
ketika menghembuskan nafasnya yang terakhir, turut terhidu bau yang sama.
“Adakah itu
bau roh arwah Pak Ngah yang keluar dari tubuhnya? Atau itu bau malaikat maut
yang datang untuk menjemputnya pulang ke hadrat Allah SWT?
“Semua orang
bercakap tentang hal itu. Bagi kami, mungkin itu tanda-tanda husnul khatimah.
Memang layaklah Pak Ngah memperolehinya kerana bapa saudara saya itu orang yang
cukup kuat beribadah, berzikir, sedekah dan bersembahyang jemaah.
“Setiap hari
arwah akan berjemaah, kecuali tidak sihat dan cuaca buruk,” demikian cerita
seorang kawan, Norzaini, kepada saya baru-baru ini. Ia terjadi di kampungnya di
Batu Pahat, Johor.
Pukul 12.00
malam
Cerita
Norzaini ini sebenarnya hampir sama dengan apa yang saya saksikan sendiri, pada
2006. Ia berlaku kepada Opah, iaitu saudara rapat keluarga kami, di Perak.
Opah berusia
80-an, keturunannya berasal dari wilayah Pattani, selatan Thailand. Badannya
bongkok. Cakapnya susah untuk saya faham. Sudahlah laju, bercampur slanga Siam,
Kelantan dan Perak.
Sekitar awal
2006, Opah terlantar akibat sakit tua. Keadaannya mula tenat menjelang Hari
Raya Korban, dan semakin kritikal pada tengah hari Aidiladha. Kami berkumpul
membacakan al-Quran dan surah Yasin untuknya yang ketika itu dibaringkan di
atas tilam.
Keadaan ini
berlarutan sampai ke malam. Penat membaca al-Quran, saya duduk seorang diri di
atas tangga memerhatikan Opah yang kian nazak dan saudara mara yang
mengelilinginya. Jarak antara saya dengan mereka sekitar lima meter.
Ketika jarum
jam hampir mencecah tepat pukul 12.00 tengah malam, tiba-tiba saya terhidu satu
bau yang cukup harum. Entahlah bau apa, seperti bercampur antara wangian bunga
dan lemon. Harum dan segar.
Wartawan
wajib berfikiran kritikal. Jangan terus percaya dengan apa yang diceritakan
atau disaksikan. Cari bukti. Cari sebab musabab. Jangan percaya sebelah pihak.
Tambahan pula perkara-perkara aneh dan mistik, yang entahkan betul entahkan
tidak.
Saya sudah
biasa lihat orang yang suka memistikkan perkara yang tidak mistik, lantaran
terlampau minat dan fanatik terhadap alam ghaib. Mereka tidak menilai bukti
dengan ilmu dan sikap skeptikal, tapi terus mengatakan ia memang benar-benar
hantu dan mistik. Saya tidak setuju dengan sikap itu.
Kembali
kepada cerita tadi: Apabila haruman itu menusuk hidung, saya terus memandang ke
segenap ruang rumah itu. Saya memerhati kalau ada sesiapa di antara kami lebih
kurang 15 orang itu yang bergerak, berjalan mahupun berpindah kedudukan.
Ini kerana,
apabila seseorang itu bergerak, haruman daripada pewangi yang digunakannya
mungkin akan tersebar. Haruman itulah yang mungkin saya hidu ketika ini. Tapi
tiada. Semuanya tidak berganjak dari tempat masing-masing, terus membaca
al-Quran dan membisikkan kalimah syahadah ke telinga Opah.
Seandainya
ada antara mereka yang mengelilingi Opah memakai pewangi tersebut, kenapa
sebelum itu saya tidak menghidunya, sedangkan itulah juga orangnya yang menemani
Opah sejak daripada pagi.
Tanpa saya
duga, ketika itulah Opah menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Saya melihat
jam di dinding. Tepat 12.00 tengah malam. Dan saat Opah disahkan meninggal
itulah bau harum tadi beransur-ansur hilang.
Adakah saya
saja yang sedar akan kehadiran bau tersebut? Tidak. Semua yang berada di
sekeliling Opah turut menghidu bauan yang sama dan menceritakan perkara yang
sama.
Perkara
ghaib itu urusan Allah. Dosa, pahala, syurga dan neraka juga urusan Allah. Kita
tidak tahu bagaimana bentuk roh. Husnul khatimah dan suul khatimah juga
urusan-Nya. Kita hanya dapat berdoa dan mengagak. Mungkin...
Opah bukan
ustazah, pakar tilawah mahupun pegawai agama. Dia hanya orang kampung yang
miskin. Namun dirinya kaya ibadah. Setiap hari, arwah sudah bersiap-siap di
atas sejadah sebelum masuk waktu solat. Selepas solat, doa dan zikirnya
panjang.
Opah
mempunyai buku kecil untuk menanda bilangan setiap kalimah zikirnya. Setiap
bilangan lima kali akan dipangkah dengan satu garisan. Begitu juga dengan
kiraan beberapa surah lazim, seperti tiga Qul.
Pernah
beberapa orang ahli keluarga Opah cuba mengira jumlah zikir-zikir itu, tetapi
gagal. Sebab, jumlahnya terlampau banyak, hingga tidak terdaya hendak
menghabiskan kiraan. Bayangkan, oleh kerana amalan itu sudah dilakukan sejak
berpuluh-puluh tahun, jumlah bukunya juga banyak.
Itu yang
terlihat di mata. Bagaimana pula ibadah dan kebaikan yang dilakukan dalam diam?
Pembaca
sekalian, janganlah anda berasa hairan atau sangsi dengan misteri yang berlegar
di sekitar kematian seseorang. Sepanjang pengalaman saya sebagai wartawan,
sudah cukup banyak saya mendengar cerita-cerita sebegini.
Bukan saja
perginya roh diiringi bau harum, malah ada juga mayat yang berbau harum
sedangkan tiada setitik pun pewangi disapu atau dititiskan pada tubuhnya.
Sekali lagi,
adakah itu roh si mati, malaikat maut, atau hanya perasaan kita sahaja? Atau
ini semua khurafat dan salah sangka semata-mata?
- See more
at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/roh-mereka-berbau-harum-1.108064#sthash.QCq0USF5.dpuf
Komentar
Posting Komentar